my rants

27/06/2016:
# Saya update Luxuree lebih cepat di Wattpad berbanding blog.
# "You are my lovely 'sayang' until forever."
# Manuskrip Luxuree boleh juga dibaca melalui Wattpad - Iftirasy

Jun 28, 2016

.luxuree 13.



13

PAGI-PAGI lagi Ryan dah tercongok di depan butik Hannah Couture. Mundar-mandir dia berjalan sambil di tangannya memegang sesuatu. Mungkin kehadirannya ke Luxuree terlalu awal. Jadi, kebanyakan butik-butik yang ada masih lagi belum dibuka termasuklah Hannah Couture.
Telefon bimbit di tangan kanan ditekan. Dia cuba untuk menghubungi Hana tetapi tidak jadi. Bimbang mengganggu gadis itu pula. Biarlah dia menanti sahaja di situ. Bukan lama mana pun jika dia sudah bercadang untuk menunggu.
Dari permukaan skrin telefon yang malap itu dia menilik refleksi wajahnya. Rambut yang menutupi sedikit bahagian dahi dirapikan. Memang betul apa kata Puan Malaika, stail rambut macam tak ada sikat itu juga yang menjadi kegemaran Ryan. Mungkin disebabkan sesuai dengan bentuk mukanya menyebabkan Ryan tidak gemar menukar stail rambut yang lain.
Saat terpandang kelibat Hana bergerak ke arahnya, Ryan lantas mengukir senyuman.
“Assalamualaikum.”
Hana memerhatikan Ryan yang bersandar di pengadang. Awal sungguh lelaki itu tiba di Luxuree. Kini terpacak pula di depan Hannah Couture seperti seorang pengawal. Diperhatikan busana kasual lelaki itu. Berkot ringkas mengikut bentuk tubuh dengan warna seluar senada berwarna kelabu, malah turut dipadankan dengan kemeja-T berkolar dan loafers berwarna coklat muda.
“Wa’alaikumsalam.”
“Pukul berapa you sampai?”
“Pukul 7.00 pagi lagi I dah ada depan butik you ni.” Tanpa berselindung Ryan memaklumkan.
“Awalnya? Ada apa-apa ke?”
Al fresco breakfast dengan I. I dah sediakan semua ni lepas subuh lagi sebab nak bersarapan dengan you.” Ryan mengangkat bakul piknik di tangan.
Tergamam Hana dengan ajakan lelaki itu. Takkanlah pagi-pagi lagi sudah mengajak dirinya berpiknik di luar? Hana perlu membuka butik. Lelaki itu, aneh-aneh saja tingkahnya.
Al fresco breakfast?”
“I suka breakfast di luar especially di taman. Kebanyakan rakyat UK lebih berminat untuk makan di luar walaupun di dalam cuaca yang tidak menentu. Tak kiralah untuk menu yang menyelerakan mahupun yang menyihatkan. Janji ringkas dan istimewa. Sambil-sambil tu bolehlah berguling atas rumput. Heh!” Panjang lebar Ryan menerangkan di depan Hana yang terkebil-kebil matanya cuba memahamkan.
“Masalahnya you tu orang UK ke?”
“A’ah, Ulu Kinta. Hahaha! Jomlah? You dah janji nak luangkan masa untuk I selama dua minggu ni kan? Sekarang dah rasa menyesal? Nak mungkir janjilah tu!”
Hisy, you ni! Cepat sangat nak buat kesimpulan. Biarlah I buka butik dulu. Pekerja-pekerja I pun masih belum sampai. Boleh you tunggu sekejap di dalam? Bila pekerja-pekerja I dah tiba, kita keluarlah. Okey?”
“Yelah, I tunggu di dalam.” Ryan bergerak mendekati Hana yang sedang membuka pintu. Hendak ditolong namun lekas saja Hana menghalang. Tiada susahnya membuka pintu butik sampai dia memerlukan Ryan untuk membantunya.
“I duduk kat sofa tu jelah.” Ryan memaklumkan bila dia bergerak ke ruang menunggu di dalam butik. Bakul piknik diletakkan atas meja kopi. Ryan memerhatikan sekitar dalaman butik tersebut. Sesekali dia mengerling ke arah Hana yang berada di kaunter. Gadis itu langsung tidak kekok menyiapkan kerja-kerjanya walaupun Ryan berada di situ.
Pintu butik ditolak ke dalam. Fizi adalah pekerja Hana yang pertama tiba. Anak muda itu masih belum perasan akan kehadiran Ryan di ruang menunggu. Selamba saja dia mengangkat tangan ke arah majikannya sambil tersenyum.
“Hai, Kak Hana! Morning!” Beg selempang dialihkan dari melingkari batang tubuh. Sengaja diletakkan atas kaunter sambil dia memerhati majikannya membuat kerja.
“Pagi-pagi ni kalau beri salam bukan ke lebih bagus.” Sempat lagi Hana mengusik. Hana ternyata masak dengan kerenah Fizi.
“Fizi lupa. Assalamualaikum, bos tersayang!”
“Wa’alaikumsalam, pekerja ternakal!” Hana akhirnya tersenyum. Bila bergurau dengan Fizi, Hana merasakan seperti bergurau dengan ahli keluarganya sendiri. Maklumlah orang yang tiada adik ni manjanya sentiasa terlebih. Tetapi, tak pula ditunjukkan kepada Ryan.
“Fizi ke belakang dulu la kak.”
“Eh, sekejap!”
“Kenapa?”
“Akak nak keluar sekejap lagi. Tolong jaga butik nanti, ya?”
“Akak nak ke mana?” Fizi menilik jam. Masih terlalu awal jika majikannya itu hendak keluar. Selalunya pukul 9.00 pagi baru Hana meninggalkan butik jika terdapat urusan di luar.
Breakfast date with someone.” Bisik-bisik Hana memaklumkan. Dia tidak mahu Ryan yang berada di ruang menunggu terdengar akan bicara mereka berdua.
Fizi membawa diri ke belakang dan Hana kini bergerak meninggalkan ruang kaunter menuju ke sofa menempatkan Ryan. Bila kelibat Fizi berjalan ke hadapan, ternyata anak muda itu nampak terkejut dengan kehadiran CEO Luxuree di ruang menunggu butik.
“Dia ke breakfast date Kak Hana?” Terdetik soalan tersebut bertamu di benaknya. Tetapi mengingatkan berita tentang perkahwinan majikannya pada bulan Disember itu, tak mustahil lelaki itulah yang bakal keluar dengan Hana sebentar lagi.
“Akak keluar dulu ya?” Hana memaklumkan sambil memandang ke wajah Fizi.
“Okey.” Dengan isyarat tangan Fizi membalas.
Ryan dah bangun dan mengangkat bakul piknik seperti biasa. Mereka kini keluar dari pintu utama butik dengan Hana mendahului langkah di hadapan.
“Nak naik kereta I?” Soal Hana bila Ryan kini berada di sisinya.
“Tak perlu. Dua minggu ni biar ke mana pun kita keluar berdua, you naik kereta I je.” Kini Ryan bergerak ke kiri. Sama seperti semalam. Mereka menuju ke ruang lif untuk ke tempat meletak kereta di Level 4.
Diam kedua-duanya saat berada di dalam lif. Sesekali Hana melirik ke arah Ryan bila lelaki itu tidak perasan. Hairan juga bila lelaki itu sanggup memperuntukkan masanya yang padat dengan mengajak Hana bersarapan di luar. Siap berhajat hendak piknik lagi. Bersungguh-sungguh lelaki itu cuba untuk mengambil hatinya.
Kereta kini dipandu memasuki The Red Garden. Itulah pertama kalinya Hana ke lokasi yang dibawa Ryan. Sebelum ini dia selalu sahaja melalui jalan tersebut tetapi tidak pernah berhajat hendak menyinggah. Khabarnya kawasan tersebut dijaga rapi dan tidak dibuka kepada umum. Bagaimana pula Ryan boleh masuk ke tempat tersebut tanpa sebarang masalah? Malah pengawal yang bertugas di pintu masuk seperti sudah lama mengenali Ryan.
“Kenapa you tengok I macam tu? I nampak kacak sikit hari ni ya?”
“You tu bukan kacak sikit, tetapi perasan kacak banyak sangat!”
Hahaha! Ada-ada je jawapan you.”
“Sebenarnya I selalu je lalu jalan tadi, tapi tak pernah pula singgah The Red Garden ni. Dekat dengan Luxuree tetapi selalu terlepas pandang.”
“The Red Garden ni memang tak dibuka kepada umum.” Tenang Ryan memaklumkan.
Kereta yang dipandu Ryan menuju ke arah sebuah bangunan bercirikan neo-nusantara yang terdapat di hujung jalan. Kereta diparkir di tempat meletak kereta berbumbung. Masing-masing keluar dari kereta bila enjin sudah dimatikan.
Ryan bergerak membuka pintu tempat duduk belakang. Bakul piknik diraih sebelum dia menutup pintu dan menekan alarm kereta.
“Cantik tempat ni! Ini pertama kali I datang.” Sempat lagi Hana hendak memuji.
“Memanglah cantik, dah kepunyaan nenek I.”
“Haa?” Hana seakan tidak percaya.
“Selepas ni takde masalah kalau you nak datang selalu. Tinggal beritahu je pada pengawal, I akan maklumkan mereka untuk berikan you special security clearance to enter this area.”
“Amboi!”
Patutlah mudah saja Ryan mendapat kebenaran untuk masuk, rupa-rupanya ia adalah kediaman berupa chalet dalam taman milik Puan Rasidah. Sia-sia Hana merasa kekaguman di awal tadi.
Ryan kini memandu langkah mereka berdua ke bahagian taman yang terletak di sebelah kiri rumah tersebut. Sehelai kain berlipat yang dibawa dihamparkan Ryan ke permukaan rumput sebagai alas mereka untuk duduk. Bakul rotan memuatkan sarapan pagi yang disediakan oleh Ryan diletakkan di atasnya. Hana diajak untuk duduk sambil menikmati udara pagi yang nyaman di taman.
Sehelai pashmina tebal diserahkan kepada Hana untuk menutupi bahagian pinggang hingga ke hujung kaki sewaktu gadis itu duduk. Dia inginkan Hana duduk dengan selesa di situ.
“Terima kasih.” Hana terharu dengan keprihatinan Ryan. “I rasa kalau sesiapa yang bercinta dengan you, mesti mereka asyik dalam dunia khayalan ciptaan you. Dilayan bak tuan puteri dan macam-macam lagi.”
Heh! You puji ikhlas atau sekadar nak perli I?”
“Terpulang pada penerimaan you. Kalau macam pujian, maka jadilah ia pujian. Begitu juga sebaliknya.”
I’ll take it as a compliment.” Ryan tersengih.
Bakul piknik ditarik agar dekat sedikit dengan kedudukannya. Bekas makanan bertingkat yang lengkap diisi dengan hidangan yang disediakan pagi tadi dibuka penutupnya.
Bahagian atas memuatkan buah-buahan yang sudah dipotong dan disusun elok. Ada buah kiwi, anggur, strawberi, tembikai, pear dan honeydew di situ. Bekas yang berada di tengah-tengah pula diisi dengan potongan roti whole wheat grain juga garlic bread. Manakala di bahagian bawah terdapat campuran chicken salad with rosemary diadun seperti sahaja apa yang dinikmati oleh Aisy semasa makan tengah hari mereka di Express Way dulu.
Dua buah bekas yang lain dikeluarkan lagi dari bakul. Bulat mata Hana melihatkan. “Banyaknya you sediakan makanan untuk sarapan pagi?”
“Sarapan tu penting. Bekalan tenaga untuk kita memulakan hari.” Ryan menjawab sambil membuka penutup bekas yang berbaki. Baked bean dalam satu bekas manakala satu lagi diisi dengan sosej ayam juga kentang goreng. Termos turut dikeluarkan malah dua biji teacup lengkap berpiring turut disusun.
“You nak jus?”Soal Ryan pula. “I hanya sediakan jus epal. Atau, you nak teh safron?”
“Boleh juga bagi kedua-duanya.” Rezeki dah tersaji depan mata, untuk apa Hana menolak?
Dua biji gelas yang berbeza turut dikeluarkan dari dalam bakul. Hana merasakan bakul tersebut cukup ajaib. Seperti poket Doraemon sahaja. Mintalah apa pun, segalanya bakal terhidang di depan mata.
“Biarlah I tolong.” Hana menarik termos dan cuba membukanya. Namun tingkahnya cepat saja dihalang dengan tangan Ryan.
“Biar I yang buat. Sekarang ni, I cuma nak you bersarapan dengan selesa.”
“You memang layan semua teman wanita you macam ni ke? Bagaikan melayan tuan puteri.”
“Setakat ini hanya Puteri Sara je yang I treat secara istimewa. Bila dengan you, I cuba buat sesuatu yang berbeza. Bukan sebab I nak lakukan perkara yang sama macam I lakukan dengan dia, I cuma nak treat you lebih baik.”
Ryan rasa hatinya pedih setiap kali berbicara tentang Puteri Sara. Rasa itu kalau boleh ingin dibuang jauh-jauh. Puteri Sara sudah lama meninggalkan dirinya. Hanya Ryan saja yang masih sukar mengikis perasaannya dari berpaut pada kenangan silam.
“You tak pernah rasa marah bila putus dengan dia?” Hana ingin cuba menyelami perasaan lelaki itu. Sekurang-kurangnya dia perlu tahu. Adakah Ryan masih lagi menyimpan perasaan terhadap bekas tunangnya? Maklum sajalah, pertama kali Hana menemui Puteri Sara semasa menemankan Ryan makan di Counter Bar, Hana pasti Ryan belum mampu melupakan gadis itu sepenuhnya. Ini salah satu cubaan Hana untuk mendekati Ryan. Tak rugi jika Hana mengambil berat. Kalaupun bukan sebagai kekasih, memadai sebagai teman rapat yang prihatin akan keadaan insan yang lain.
“Tipulah kalau I tak marah. Tapi perasaan marah tu hilang bila I tahu dia lebih bahagia walaupun bukan bersama-sama dengan I. Farewell is love. Perpisahan tu juga sebahagian daripada cinta, Hana. Kita berpisah dalam masa yang sama kita berharap insan yang kita sayang itu berbahagia dengan keputusannya. Itu dah cukup membantu dalam menyembuhkan rasa sakit hati ni.”
Hana tidak tahu bagaimana hendak membalas. Kadangkala mendengarkan cerita lelaki itu cukup berbeza jika hendak dibandingkan dengan melihat peribadinya dari segi luaran. Bagi Hana, Ryan cukup istimewa. Padanlah lelaki itu boleh memiliki lima orang teman wanita sekali gus. Sayangnya tidak pula lelaki itu berjodoh dengan salah seorang daripada mereka. Kalau tidak nama Hana pasti tidak terheret menjadi mangsa keadaan. Calon isteri pemilik empayar Luxuree yang begitu dikenali di mata ramai.
“Tapi I tak faham satu perkara. Betulkah you nak berkahwin dengan I semata-mata demi untuk melupakan dia? Bagaimana jika sesudah kita berkahwin dan you masih ada perasaan pada dia? You tak rasa you berlaku kejam pada I?”
“Hana, dalam hati you kalau langsung tak terbuka untuk cuba menyukai orang lain, you takkan nampak perubahan yang sedang mereka buat. Bagaimana I nak lupakan kalau you sendiri tak nak bantu? I kena berusaha buat you sukakan I dan seperkara lagi, I terpaksa berusaha sendiri untuk melupakan dia yang tak perlu I ingat. Siapa yang lebih kasihan rasanya? I atau you?”
Sekali lagi Hana terdiam. Benar, dia tidak pernah berusaha membuka hati yang tertutup itu langsung. Dia tidak berusaha kerana dia takut akan penghujung kisah jika sekali dia meluah rasa. Bagaimana jika Ryan mensia-siakan dirinya sama?
“I nak you beri peluang pada diri you, pada I dan pada kita. Itu je.”
“I sedang berikan you peluang sekarang ni, Ryan. Jika I tak cuba langsung, bukan setakat I biarkan je permintaan you untuk rapat dengan I dalam masa dua minggu malah, I sendiri yang akan maklumkan kepada keluarga masing-masing. Sebab I sedang memberi peluang dan sekarang ni you belum dapat berikan jaminan sama ada mampu atau tidak mengikat hati I ke arah you. Dua minggu tu tak lama. Ia akan berakhir juga.”
“Jadi, untuk tempoh dua minggu ni you jadilah teman wanita I yang paling baik, paling menyokong dan hanya melihat ke dalam diri I. Bukan disebabkan I ni CEO Luxuree. Malah, bukan juga disebabkan nenek menyuruh kita berkahwin membuatkan you tersepit untuk mengenali I. I hanya nak you kenali I kerana diri I. Bukan orang lain.”
“I... akan cuba.” Hana tersenyum memandang ke mata Ryan. Dua minggu ini dia akan cuba mengenali CEO kerek itu sebagai Ryan. Bukan atas alasan yang lain.
“Sekarang ni kita sarapan sama-sama.” Ryan menyuap chicken salad with rosemary ke mulut Hana dengan sudu yang ada. Selamba saja dia berkelakuan mesra begitu.
Nak tak nak Hana terpaksa juga membuka mulut. Inilah padahnya jika terpaksa mengikut apa yang dijanjikan. Perkara-perkara yang jarang dibuat malah tidak pernah dilakukan dengan sesiapa sebelum ini bakal dilakukan dengan dia, lelaki di sisinya. Hana jadi malu sendiri.
“I guna garfu je pun.”
Hmmm...” Hana sendiri tidak tahu sama ada dia perlu menyuap Ryan seperti mana yang dilakukan oleh lelaki itu tadi. Dalam hati terdetik sama ada hendak melakukannya atau membatalkan sahaja hasratnya.
Baru saja Hana ingin menyuap buah kiwi ke mulut Ryan, tingkahnya terhenti. Telefon bimbit yang berbunyi seakan meminta untuk diangkat. Siapa pula yang sedang mengganggu mereka bersarapan?
Tidak tertera nama di permukaan skrin. Hanya pangilan private yang kelihatan membuatkan Hana terus menekan butang hijau. Telefon yang ada dibawa ke telinga. Hana memberi salam kepada individu di hujung talian sebelum dirinya terdiam seketika.
“Siapa?” Ryan bertanya sambil berkerut dahi. Dia dapat mendengar suara halus di hujung talian itu adalah lelaki. Hana yang tidak pasti gerangan si pemanggil sekadar menjongket bahu.
“Dari mana kau dapat nombor telefon aku?” Hana menyoal. Pelik bila Ahmad Qusyhairi memperkenalkan diri dan menghubunginya.
“Aku nak jumpa kau sekarang, boleh?”
“Jumpa aku sekarang? Tapi, sekarang aku di luar.”
Belum masanya Hana menyebut nama Ahmad Qusyhairi di depan Ryan. Lagipun saat bertemu dengan lelaki itu semalamcHana seboleh mungkin berlagak tenang. Syukur bila Ahmad Qusyhairi berpura-pura tidak mengenalinya. Kalau tidak, pasti panjang soalan yang keluar dari mulut Ryan tentang hubungan di antara Ahmad Qusyhairi juga dirinya.
Ryan dah buat muka pelik. Kenapa Hana tidak menyatakan secara terus yang dia sedang bersama teman lelakinya? Ryan tidak suka bila Hana berbual atau berbicara dengan lelaki lain sewaktu mereka meluangkan masa bersama-sama.
“Kau di mana? Kita jumpa di kafe yang biasa kita jumpa dulu dalam sejam lagi?”
“Aku tak boleh janji. Nanti aku cuba tetapkan semula. Err... bagaimana aku nak hubungi balik?”
“Aku akan mesej nanti.”
Hana mematikan talian. Telefon bimbit diletakkan di sisi sambil matanya dapat menangkap renungan tajam Ryan.
“Boleh tak you buat sesuatu untuk I?”
“Apa dia?”
“Jangan bercakap dengan lelaki lain semasa you berada di samping I.”
Lelaki lain? Bagaimana Ryan tahu yang berada di hujung talian itu adalah pemanggil lelaki? Adakah Ryan turut mendengar suaranya?
“Tapi kenapa?”
“Bukan di depan I. I takut tahap cemburu I naik bila you berbual mesra dengan orang lain. Sedangkan bila di samping I, you langsung kaku.”
Sorry, lain kali I tak buat lagi.” Hana menyisip teh safron yang ada sambil menggenggam cawan di tangan. Sekurang-kurangnya dia dapat mengawal debaran di hatinya dengan melakukan perkara tersebut tanpa perlu memandang ke wajah Ryan. “Jadi, boleh I jumpa dia? Kawan I tu?” Sambung Hana lagi.
“I bukan orang yang suka mengawal dengan siapa you nak berkawan, Hana. Hanya ingat, I sentiasa ada untuk you fikirkan. You nak jumpa sesiapa pun I tak kesah, janji berpegang pada kata hati bahawa ia takkan bergetar buat orang lain selain I seorang. Walaupun untuk dua minggu ni saja.”
Hmmm...” Hana menggumam mendengarkan permintaan Ryan.
Setakat ini Hana menurut saja. Lagipun sudah dikira baik Ryan memberi izin. Hana bukan jenis orang yang perlu meminta kebenaran teman lelaki jika hendak bertemu orang lain, tetapi dia berasa selamat dikawal begitu. Sekurang-kurangnya dia tidak rasa sunyi bila ada yang mengambil berat dan tahu dengan siapa dirinya bertemu.
“Tapi, boleh tak you beritahu dia yang you nak jumpa di Luxuree je? Sebab malam...” Ryan tidak jadi menghabiskan ayat.
“Malam?” Hana mengangkat kening.
Lunch nanti I tak boleh nak date dengan you. I perlu ke Melaka. I akan cuba balik secepat mungkin. Selesai urusan you dengan kawan tu, boleh you tunggu I di Suite? Nanti I maklumkan pada Melissa atau Ali agar serahkan kunci pejabat pada you.”
“You nak jumpa I lagi?”
“Setiap hari dalam dua minggu ni I nak jumpa you selepas I buka mata dan sebelum I menutup mata.”
Hana mengangguk tanda faham. Bila dia perasan Ryan merenungnya, Hana jadi malu sendiri. Mata lelaki itu seakan tersenyum mesra setiap kali memandang Hana.