
2
EARPIECES DI TELINGA melagukan 1517 - The Whitest Boy Alive. Notepad depan mata dah dilarik-larik, diconteng penuh dengan tulisan tangan. Pensel mekanikal itu seketika ditekan-tekan ke permukaan notepad, tertulis bait daripada lirik yang berulang-ulang dimainkan oleh telefon bimbitnya. Di dalam hostel itu Ressa tidak buat apa-apa sementara menanti senja melabuhkan tirai.
Setiap bilik hostel di Blok A itu memiliki dua buah katil juga bilik air tersendiri. Ada meja untuk studi juga almari untuk menggantung pakaian. Bilik yang bagi pengamatan Ressa cukup praktikal dengan kemudahan asas untuk mereka yang hadir berkursus.
Daripada duduk di kerusi, dia beralih baring ke katil yang ada bersama-sama notepad, pensel mekanikal, telefon bimbit juga earpieces yang masih tergantung di telinga. Lirik yang ternukil di atas notepad dibaca sekali lalu...
Taking on responsibility knowing it will weight you down.
Freedom is a possibility only if you’re able to say no.
Kali ini tangan menulis sepatah perkataan sebelum dibulatkan besar-besar, berulang kali. Hampir tembus kertas tersebut akibat pensel mekanikal itu ditekan kuat.
Freedom.
Entahlah. Dia rasa bebas di sini. Jauh daripada perhatian mama dan papa. Jauh daripada kata-kata yang menyakitkan telinga. Hambat cerca oleh abangnya, Khuzairi. Kalau boleh dia ingin selamanya di sini. Mendekati alam semulajadi membuatkan mindanya tenang dan lapang.
Selama seminggu mengikuti program GG di saat universiti sedang dalam mid break, dia rasa betul-betul lega. Tak perlu berada di Sungai Buloh untuk tempoh tersebut. Habis saja mid break, dia terus sambung kuliah untuk final sem pula. Ressa memang bersyukur sangat-sangat sebab tak perlu menghadap muka Khuzairi di rumah selama tempoh dia bercuti.
Masih terngiang-ngiang di telinga Ressa akan pertengkaran kecil Khuzairi dan dirinya awal pagi semalam. Semuanya gara-gara Ressa meminta Encik Syahrain dan Puan Alia untuk menghantarnya ke lapangan terbang. Sebaliknya, Khuzairi yang disuruh menghantar Ressa atas arahan mama dan papa.
“Sikit-sikit nak menyusahkan aku! Cubalah belajar berdikari. Kau tu bukan budak kecil lagi sampai nak gunakan papa untuk menambah kerja aku jadi driver kau setiap kali nak ke mana-mana! Dah tahu nak pergi Sabah tu, planlah sendiri macam mana nak ke airport. Aku ni asyik jadi kuli batak kau aje!”
“Kalau papa tak suruh Abang Khuzairi hantar hari ni, Ressa pun tak teringin nak tumpang kereta abang!” jawab Ressa tegas. Tidak sedikit pun dia menoleh ke kanan. Matanya masih leka memerhati pemandangan hutan di sebelah kirinya itu.
“Jangan sampai aku turunkan kau di tepi jalan ni! Kau tu menumpang, jadi buatlah cara orang menumpang. And, please la... stop merengek dekat mama minta itu dan ini. She’s not your mother.”
Terkelu lidah Ressa selepas ditegur begitu. Apa salah dan dosanya menumpang kasih Puan Alia? Walaupun wanita itu ibu kepada Khuzairi dan isteri pertama papa, kasih sayang yang tercurah buat Ressa tak pernah dibeza-bezakan. Ressa tahu arwah ibunya hanyalah isteri kedua papa. Tetapi, arwah ibu jugalah yang paling papa sayang separuh nyawa. Tiada sesiapa yang boleh menolak kenyataan itu. Tiada sesiapa pun!
“Weh, menungkan apa tu?” Fara memandang Ressa dalam riak tertanya-tanya. Dia yang baru saja keluar dari bilik air kini berjalan ke meja studi.
“Tak ada apa. Layan kepala dengar lagu.” Dipandang pelajar dari UIA itu dengan ekor mata.
Sebenarnya, Ressa sangat bersyukur dapat duduk satu hostel dengan Fara di sini. Kalau hendak diikutkan, dia memang tak pandai bergaul dengan orang yang baru ditemui. Tetapi, dengan Fara dia cepat mesra. Mungkin faktor sebagai rakan sebilik membuatkan mereka terpaksa bergantung di antara satu sama lain dalam tempoh seminggu tersebut. Malah, Ressa berharap dan berdoa, semoga dia dan Fara masih kekal berhubung setelah tamatnya program GG di Sabah ini.
“Amboi, dengar lagu apa? Di Sudut Kamar Hatiku ke?” perli Fara. Dia beralih duduk di kerusi sebelum mencapai sehelai tuala yang berada di pengadang kerusi tersebut. Dilap rambutnya yang basah usai mandi tadi.
“Lagu apa tu?” Ressa masih belum dapat menangkap sindiran Fara itu tentang apa.
“Aik, cepatnya dah terlupa! Punyalah sedap suara budak tu mendendangkan nama kau dalam dewan tadi. Muka pun boleh tahan. Bad boy style.”
Dalam dewan? Maksud Fara lagu yang dinyanyikan oleh Adam Johan Khairil tu? Oh, please!
“Yikes! Aku rasa sumbang ada la.” Dia berpusing dan menggeliat atas tilam ibarat kucing yang baru bangun daripada tidur yang nyenyak. “Dan, itu bukan bad boy style, Fara. Playboy style baru tepat!” Mana datang suara sedap pun Ressa tak tahu. Kalau masuk pertandingan nyanyian, pasti awal-awal dah ditendang keluar.
Fara ni pun satu. Kalau dah masuk bab memuji yang manis memang selori gula dia curah. Dan, mamat tu pun satu. Ada ke patut dia tukar perkataan ‘resah’ daripada lirik tersebut dan digantikan dengan nama Ressa. Laju saja Ressa bagi jelingan maut. Sengaja betul mamat yang awal-awal lagi tidak diketahui namanya itu cuba untuk memalukan Ressa di dalam dewan petang tadi.
Terimbau seketika wajah lelaki itu saat dia menoleh ke belakang. Dan, rangkap pertama lagu Di Sudut Kamar Hatiku versi mamat poyo itu kini kembali bergaung-gaung di telinganya. Ah, parah!
“Ressa hatiku... merinduimu. Terbayang-bayang anggun senyum dan tawamu. Baru semalam rasanya bagai setahun, pemergianmu tak tertanggung.”
Ressa ketap bibir menahan rasa, “Cis! Mamat tak guna!”
“Apa?” Antara dengar dengan tidak, Fara dapat menangkap bahawa Ressa bercakap sesuatu sebentar tadi. Cuma isinya sahaja yang tak masuk ke telinga kerana dia masih sibuk mengeringkan rambut. Matanya melirik ke notepad yang ada di atas tilam Ressa, “Kau tulis apa tu?” soal Fara bilamana Ressa langsung tidak menjawab pertanyaannya tadi.
“Scribbles. Lyrics. Quotes. Semua yang aku rasa nak tulis. Rahsia hati aku,” balasnya tanpa berselindung.
“Dari kau buang masa macam tu, baik pergi mandi sekarang. Dah nak masuk waktu maghrib ni.” Fara mengingatkan. Sekejap lagi mereka akan bertolak ke surau untuk solat berjemaah bersama-sama pelajar juga petugas program GG.
“Aku tak solatlah.” Tak perlu rasanya nak terkejar-kejar ke surau.
Bagi Ressa, tak terbit langsung perasaan malu dalam dirinya mengungkapkan ayat tersebut. Bukan kerana dirinya didatangi haid. Tetapi, memang Ressa sudah lama tidak menunaikan kewajipan yang satu itu. Di rumah tiada yang membimbing manakala di universiti dia lebih suka mengambil sikap tidak mencampuri urusan orang lain. Bahkan, tiada sesiapa pun dibenarkan untuk masuk campur dalam urusan hidup Ressa.
“Aku tahu. Tengok rambut berkarat kau pun aku dah tahu. Pergilah mandi.” Fara pun tak berani nak komen lebih-lebih. Dia ada ‘tugas’ yang lebih besar berbanding hendak berdebat pasal rambut berkarat temannya itu.
Semalam dia menyangkakan bahawa warna rambut light ash brown Ressa itu bolehlah dibawa dalam solat. Lagipun ada aje saudara-mara Fara yang gemar mewarnakan rambut dengan inai atau pewarna rambut halal yang banyak dijual di toko-toko jamu. Tak tahu pula pilihan gadis itu adalah dari pewarna rambut terkemuka L’Oreal. Memang tak sahlah nak dibawa dalam solat.
“Kau nak siap-siap ke surau eh?” Melihatkan jarum jam di pergelangan kiri menginjak ke pukul 6.40 minit petang pasti Fara ingin bergegas ke surau untuk solat maghrib berjemaah, bacaan Yassin juga solat isyak berjemaah selepas itu. Ressa seperti biasa bakal ditinggalkan seorang diri di dalam hostel tersebut.
“Aku tunggu kau habis mandilah. Kita pergi sama-sama.” Tangan Fara sedang menanggalkan butang daripada tudung yang dipakai petang tadi. Dia ingin menukar tudung yang baru dan bersih untuk dipakai bersolat nanti.
“Aku tak solatlah, Fara. Kau ni macam tak faham-faham aje.” Dari semalam Ressa sudah memberitahu. Telekung pun langsung dia tak bawa. Takkan nak solat dengan memakai baju-T juga jean? Belum lagi rambut coklatnya itu dilihat oleh pelajar perempuan dan lelaki yang lain semasa berada di dalam surau. Eii, tak naklah!
“Kau solat atau tak, kau ikut aku juga. Kalau kau segan pasal rambut tu, kau pakai telekung aku dulu. Nanti di surau kau tukarlah dengan telekung yang ada. Di surau tu banyak telekung yang diwakafkan. Jadi, kau tak payah nak risau.”
Ressa dan Fara datang dari universiti berlainan dan dipertemukan di hari pertama mereka mendaftar. Memandangkan mereka duduk dalam hostel yang sama, terus jadi akrab. Fara tidak tahu bagaimana keadaan Ressa semasa di universiti tempatnya belajar. Tetapi, Fara akan cuba sebaik mungkin dalam memantau ibadah solat Ressa di sini.
“Kau nak aku buat apa di sana?” soal Ressa kehairanan.
“Solat,” balasnya sepatah.
“Kan aku dah cakap tadi...”
“Aku dengar,” balas Fara. Wajahnya tidak menunjukkan sebarang riak. Memang selamba sangat-sangat!
“Habis tu?” Ressa masih tak puas hati.
“Kau bukannya dalam keuzuran. Jadi, kau wajib solat. Kau pernah dengar cerita tentang seorang ibu yang cuba solat lima waktu setiap hari walaupun dia dalam keadaan haid?” tiba-tiba Fara melontarkan soalan cepumas kepada Ressa yang tak adalah cetek info berkenaan agama Islam yang indah itu. Agama yang bagi Fara tidak pernah menyusahkan pelaku ibadahnya sama sekali.
Ressa menggelengkan kepala sungguh-sungguh. Tidak pasti topik perbualan mereka kali ini menjurus ke mana.
“Sebab si ibu itu tak mahu anaknya yang melihat tertanya-tanya. Kenapa si ibu tidak solat tiba-tiba? Sedangkan ibadah solat lima waktu sehari semalam yang dilakukan itu sepatutnya berlaku secara berterusan di fikiran sang anak. Diusia mereka masih kecil, datang haid itu belum lagi difahami oleh mereka. Jadi, terbit rasa tertanya-tanya di benak mereka bila si ibu meninggalkan solat.”
“Tapi, solat si ibu tu masih tidak sah, kan?” sejahil-jahilnya Ressa, dia masih dapat membezakan antara sah atau tidak solat seseorang itu. Andai mengalami haid, bukankah ibadah yang dilaksanakan itu sia-sia belaka. Buat penat ruku’ dan sujud aje.
“Memang tak sah. Si ibu malah tidak membaca apa-apa surah pun dalam solat tu melainkan berzikir. Dia hanya menunjukkan perlakuan, galakkan dalam mengajar anak untuk bersolat tanpa culas. Tak ke untung menjadi seorang ibu apabila anaknya ikut mengerjakan ibadah walaupun di usia kecil?”
“Sekarang ni kau anggap aku macam si ibu yang kena bersolat semasa dalam haid ke? Tapi, aku nak tunjuk pada siapa?”
“Sort of. Maksud aku di sini, sedangkan ibu yang dalam haid pun terpaksa berlakon mengerjakan solat demi anaknya, kau pula sebagai orang Islam tak nak buat benda yang sama walaupun dalam keadaan bersih daripada hadas besar tu?” Fara ingin membiasakan Ressa dengan solat. Antara memaksa, dia lebih memilih untuk tegas mengajak Ressa ke jalan yang diredai oleh Allah SWT. Menjadi seorang sahabat itu tak semestinya perlu bermegah dan dimewahkan dengan wang ringgit, up to date dengan fesyen juga gajet terkini. Cukuplah dengan mengajak sahabat yang dikasihi untuk sama-sama melakukan kebaikan. Sama-sama bergerak lurus ke jalan Tuhan.
“Lagi satu, ia bukan untuk kau menunjuk-nunjuk kepada sesiapa tetapi mendatangkan kesedaran dalam diri kau sendiri untuk berubah. Sekecil-kecil ibadah itu Allah SWT tetap akan pandang kerana Dia yang Maha Melihat. So, kalau kau tak buat, kau ingat Dia tidak tahu ke?”
Fara akan cuba mengusahakan dalam beberapa hari ini untuk Ressa menukar warna rambutnya kembali ke warna asal. Selepas itu dia akan terus istiqamah dalam mengajak Ressa solat lima waktu sehari semalam. Perlahan-lahan pun tidak mengapa. Janji ada titik mula untuk sahabatnya itu melakukan perubahan, lillahi Ta’ala.
“Aku hanya nak kau belajar membiasakan diri dengan kewajipan menunaikan ibadah Rukun Islam yang kedua itu, Ressa.” Itu niat Fara. Tiada yang sebaliknya.
Semacam banyak sangat info keagamaan yang masuk ke telinga Ressa dan belum mampu dihadam sepenuhnya dalam otak. Tentang solat, tentang rambut dan tentang pahala zikir semasa dalam keadaan haid. Lebih baik dia angkat kaki ke bilik air. Lama-lama berada di situ, ada juga dirinya kepanasan mendengarkan tazkirah tak berbayar daripada ‘ustazah’ Fara binti Omar.
No comments:
Post a Comment