#my rants

Currently in the mood for:
# C Dramas

Aug 16, 2025

Adam Ressa Ep.1


1

 

2012, Sabah...

 

SEMUA PELAJAR DIARAHKAN berkumpul di dalam Dewan Baiduri untuk sesi taklimat berkenaan Borneo Wildlife di sebelah petang usai solat asar. Program Go Green (GG) anjuran Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar buat pelajar-pelajar terpilih dari universiti awam dan swasta di Malaysia itu menemukan Adam Johan dan Alif dengan pelajar-pelajar universiti berbeza dalam negara.

Setiap universiti menghantar dua orang wakil daripada pelbagai bidang kursus untuk program tersebut. Daripada maklumat yang disampaikan oleh petugas GG, dijumlahkan seramai 94 orang pelajar yang mendaftar untuk program yang julung-julung kalinya diadakan itu.

Hari ini baru sahaja memasuki hari kedua buat mereka berkampung di negeri di bawah bayu tersebut. Penganjur sengaja memilih Sabah sebagai negeri pertama menjadi tuan rumah dalam misi mendekatkan pelajar-pelajar dengan alam semulajadi untuk tempoh seminggu. Semoga setiap input berguna yang dibawa pulang nanti mampu menjadi pemangkin dalam diri pelajar, untuk sama-sama menjaga alam sekitar sebaik mungkin demi generasi akan datang.

“Badan kau panas lagi ke?” Alif menyoal. Hampir lima minit dia dan Adam Johan meninggalkan bangunan hostel menuju ke Dewan Baiduri.

Adam Johan menggeleng, “Dah tak.” Dia melangkah melalui koridor yang ada bersama-sama Alif. Saat dia menoleh ke kiri, lebih tepat lagi ke arah Alif, kelihatan temannya itu sedang mengangkat tangan seumpama melambai ke suatu sudut. Mata Adam Johan ikut menelusuri setiap tingkah teman di sebelah.

“Hai!” ucap Alif pendek.

Gadis berambut hitam kecoklatan melepasi bahu itu hanya menganggukkan kepalanya sebagai membalas teguran Alif. Dia berjalan terus sebelum mendekati pintu utama Dewan Baiduri. Pemegang pintu ditarik dan dia memboloskan diri ke dalam dewan sebelum pintu tersebut tertutup dengan sendirinya.

Adam Johan pelik. Sejak bila pula Alif ada kawan baru di sini selain Adam Johan? Perempuan pula tu.

Mereka terus melangkah ke pintu dewan yang sama. Adam Johan menarik pemegang pintu di sebelah kiri manakala Alif pula menarik pemegang pintu di sebelah kanan. Pintu terkuak lebar. Tumpuan setiap pelajar yang berada di dalam dewan kini tepat memandang ke muka Adam Johan dan Alif. Keduanya berjalan tanpa mempedulikan setiap pasang mata yang melihat.

Adam Johan dan Alif duduk di barisan tengah untuk mengelakkan daripada menjadi terlalu menonjol. Faham-faham sajalah, setiap kali berada di dalam dewan pasti mereka yang duduk di barisan paling hadapan juga mereka yang berada di barisan belakang menjadi mangsa disoal itu dan ini. Jadi, sebagai langkah selamat, sengaja mereka memilih untuk duduk di tengah.

Alif melabuhkan punggung di bangku panjang yang terdapat di barisan tersebut. Seketika dia melihat ke kiri. Seorang pelajar lelaki yang duduk di sebelah kirinya itu melemparkan senyuman ringkas. Kini, Adam Johan pula mengambil bahagian dengan duduk di sebelah kanan Alif.

“Alif,” ucapnya memperkenalkan diri pada pelajar lelaki di kirinya itu. “Kawan aku, Adam Johan.” Tunjuk Alif, memperkenalkan Adam Johan di sebelah.

“Syahir.” Balasnya pendek.

“Universiti mana?” ramah pula Alif hendak berbual-bual dengan Syahir sedangkan Adam Johan terus diam membisu. Pandangannya dilontarkan ke hadapan. Tepat melihat susuk pelajar perempuan muka beku tadi.

“UUM,” Syahir berjeda. “Kau dari universiti mana?”

“Aku dengan budak kerek sebelah ni dari UPSI.” Sempat lagi Alif menyindir temannya yang dah masuk mode loner.

“Oh, bakal cikgulah ni?” tanya Syahir lagi.

XB950B1 EXTRA BASS wireless headphones berwarna merah yang tersangkut di leher itu dibawa ke telinga. Butang kecil yang terletak di sebelah kiri headphones itu ditekan. Kembali berlagu Yer Blues – The Beatles yang sedikit masa lagi bakal menemui penamat. Lagu yang terpaksa dia pause dalam playlist demi mengerjakan solat asar di surau tadi.

Alif jongket kening sebelum menoleh ke kanan. Temannya itu sedang mendengar lagu tak kira tempat dan masa. Andai tak diajak berbual, memang begitulah cara Adam Johan mengisi masa yang terluang. Alif pandang ke hadapan. Para petugas untuk program GG ini masih sibuk berbincang di sudut kiri pentas. Bahkan keadaan di dalam dewan tersebut tidaklah sesunyi mana.

Seketika Adam Johan menurunkan headphones ke leher. Alif yang sedang mengeluarkan gula-gula Hacks berwarna hitam dari poket seluar itu diperhati setiap tindak-tanduknya. Pembalut gula-gula berwarna merah itu dibuka sebelum isinya dimasukkan ke dalam mulut. Tak apa pula gayanya nak pelawa Adam Johan barang sebiji dua Hacks itu. Memang dasar kedekut punya kawan!

“Siapa yang kau tegur tadi?” Adam Johan bertanya sambil melihat Alif sedang enak menikmati gula-gula dalam mulut.

“Sebelah aku ke? Syahir dari UUM.” Kedengaran gerahamnya memecahkan gula-gula di dalam mulut.

Budak lelaki tu nak buat apa? Adam Johan langsung tak berminat. “Bukan budak lelaki sebelah kau tulah…” Perlahan sahaja bicara Adam Johan. Tidak mahu Syahir yang duduk berdekatan turut memasang telinga. Adam Johan pun bukan minat sangat nak jadi ramah berkenalan dengan pelajar lelaki yang lain. Cukuplah adanya Alif, temannya itu yang diperlukan dunia dan akhirat.

“Habis tu?” Matanya dipicingkan ke muka Adam Johan. Ada orang lain lagi ke?

“Budak perempuan yang kau tegur sebelum kita masuk dewan tadi. Aku tengok dia buat muka ketat aje. Senyum pun tak.” Nak mengharapkan anggukkan gadis itu yang macam nak tak nak, mahu saja Adam Johan tolong sembur dengan ayat, ‘Sini bukan di Jepun nak main angguk-angguk eh!’.

Oh, Ressa ke?” Baru Alif sedar, kiranya Ressa satu universiti dengan Syahirlah ni?

Dia asal mana?” tanya Adam Johan lagi.

“Apasal kau nak tahu?” seloroh Alif. Bukan boleh dilayan temannya itu jika bersangkutan dengan kaum berlawanan jantina. Sentiasa ada udang terselit di sebalik batu.

“Saja.” Saja seorang Adam Johan itu bukan boleh dibuat main-main. Saja dia bersebab.

“Entah. Manalah sempat aku nak tanya banyak-banyak.” Ressa berasal dari mana tak pula Alif ajukan semalam. Itu pun dia sekadar berbasa-basi menanyakan nama juga universiti yang diwakili memandangkan kena duduk semeja dengan pelajar-pelajar dari universiti berbeza sewaktu minum petang semalam. Bila partner in crime tak dapat join minum petang dek kerana badannya dedar semacam nak demam, terpaksalah Alif duduk dengan pelajar dari universiti berbeza.

“Ressa? Itu ke nama dia? Ressa? Seriously?” Mata dah mencerun memandang susuk pemilik nama tersebut yang duduk di depan sana.

Alif menyiku lengan Adam Johan cukup pantas. Syahir yang duduk di sebelah Alif dah terteleng kepalanya mendengarkan nama rakan universiti disebut-sebut.

“Iyalah, kau ingat aku main-main ke sebut nama dia tadi? Bukan Rassa, Rissa, Rossa, or Russa okey!” Alif sengaja nak bermain dengan huruf vokal nampaknya.

Hahaha! Russa eh?” Adam Johan baru aje sebut nama Ressa dua kali, tu pun dah kena tegur. Hampeh punya Alif!

“Diamlah. Dia dengar karang, tak pasal-pasal kita kena jeling!” Dahlah suara Adam Johan itu kuatnya lain macam. Si Syahir pun dah berulang kali menoleh.

“Ressa,” ulang Adam Johan lagi.

Alif dah berpaling muka ke kanan. Dahinya dipicit-picit seketika, “Janganlah kau buat onar sekarang ni weh!” Dalam hati puas Alif berdoa. Bukan boleh dijangka perangai sahabatnya yang seorang itu. Lain daripada yang lain. Jenis budak yang payah nak mendengar nasihat.

“Aaa... aaah.” Dia menekan-nekan leher. Menguji suara. Ada juga ruang di dalam Dewan Baiduri tersebut bakal bergema dengan nyanyian solo versi Adam Johan Khairil sebentar lagi.

“Ressa hatiku... merinduimu. Terbayang-bayang anggun senyum dan tawamu. Baru semalam rasanya bagai setahun, pemergianmu tak tertanggung.” Lirik lagu Di Sudut Kamar Hatiku dendangan Dato’ Jamal Abdillah itu sekadar ditukar perkataan ‘resah’ di depannya. Membuatkan muka Adam Johan kini menjadi tontonan mereka yang berada di dalam dewan, termasuklah tuan punya nama di depan sana.

“Aku dah agak dahhhhhhh...” Geleng kepala Alif menahan perasaan malu saat setiap pelajar yang berada di dalam dewan itu memandang muka Adam Johan. Naya betul ada kawan tak makan saman ni! Mujur aktiviti di dalam dewan belum bermula. Tak adalah mereka kena tegur oleh petugas GG sekiranya berperangai pelik.

“Sejak bila kau merindu budak tu? Terbayang-bayang senyum tawa orang tak memasal! Bila dia senyum dan tawa depan kau? Depan aku pun dia buat muka toya aje. Baru semalam rasa bagai setahun? Semalam tu aku yang jumpa dia, bukan kaulah mangkuk! Kita di sini baru masuk dua hari okey, bukan setahun. Pemergianmu tak tertanggung konon? Aku tengok elok aje budak tu duduk di depan tak berganjak. Tak payah nak jiwang sangatlah, bro. Memalukan tahu tak!” Tiba-tiba aje Alif mengulas setiap bait lirik lagu Di Sudut Kamar Hatiku itu dengan situasi angau rakan di sebelah.

“Ressa, semoga awak dah tak resah lagi!” Jeritannya memenuhi suasana.

Adam Johan memandang tepat ke wajah Ressa yang menoleh seketika ke belakang. Tiada langsung senyuman. Hanya jelingan tajam dihadiahkan ke muka Adam Johan sebelum Ressa memandang tunak ke pentas. Terdetik di hati Adam Johan akan perasaan yang bermukim di sanubarinya. Aura yang berlainan sangat.

Ajaib, apabila seorang Adam Johan ingin mengenali si empunya nama – Ressa.

Ditolak lengan Adam Johan sebelum Alif berpeluk tubuh. “Kau ni memang sengaja cari penyakitlah, bro!”

“Bila masa aku cari penyakit? Aku tengah melebarkan signal cari awek. Itu fact!” Adam Johan diam. Matanya memandang gadis yang duduk di sebelah Ressa. “Kau tak nak join? Aku tengok yang duduk sebelah dia tu boleh tahan cantiknya. Dah macam Aishwarya Rai!” Sempat lagi dia hendak berseloroh.

Alif ketap bibir bawah. Rasa nak debik aje Adam Johan tu sebab banyak mulut sangat! Malas sebenarnya nak melayan perangai tiga suku Adam Johan setiap kali temannya itu bergurau. Adakalanya terbawa-bawa sampai kepada gurauan yang melampau.

Alif mendapat akal yang lain. Ditadah kedua-dua belah tangan ke dada, ingin berdoa. “Bismillahirahmanirrahim. Ya Allah, bantulah aku hamba-Mu. Tolonglah keluarkan perangai tak elok dalam diri sahabatku ini. Semoga dia kembali ke landasan yang benar. Jadi budak normal kebanggaan UPSI. Berikanlah hidayah kepadanya. Amin ya Rabbal alamin.” Tangan yang diangkat separas dada untuk berdoa itu kini diraupkan ke muka perlahan.

“Aku tak minta yang nama Hidayah. Aku nak yang namanya Ressa.” Nama yang dah buat jiwa seorang Adam Johan betul-betul resah gelisah.

“Kau jangan nak main-main dengan doa aku tu eh!” marah Alif.

Hesy! “Mana kau kenal budak Ressa tu, Lif?” soal Adam Johan perlahan. Mata masih tak lepas memandang figura di depan sana sedang telinga sabar menanti jawapan teman di sebelah.

“Satu meja dengan aku masa tea break semalam. Kau kan tak ada masa tu, pergi sick bay.” Terpaksalah Alif merambu lepak dengan geng baru. Si Adam Johan itupun satu, awal-awal tiba ke sini dah demam pula. Antibodi tak kuat langsung!

“Perghhhh! Ada awek cun tak bagitahu eh? Makan seorang nampak?”

“Masalahnya aku tak berminat nak bagitahu dekat buaya darat spesis kau ni. Pupus segala perangai yang baik-baik kalau dah bercampur dengan perangai setan kau tu!”

“Sampai hati kau cakap perangai aku macam setan,Adam Johan tayang muka minta simpati. Namun, langsung tak berbekas di hati Alif yang melihat.

Adam Johan tu mana pernah pasang mode serius lama-lama. Sekejap sahaja dia akan tune kepada membuat lawak bodoh juga berseloroh. Alif dah masak sangat dengan perangai temannya itu.

Perbualan mereka tidaklah berlarutan mana apabila petugas GG sudah mengambil tempat di tengah pentas, memegang mic dan memberi ucap selamat. Adam Johan langsung tidak dapat mengagak akan isi kandungan yang bakal terangkum dalam sesi taklimat berkenaan Borneo Wildlife petang ini. Dia sudah melurutkan headphones ke leher. Kini, fokus matanya melihat setiap pergerakan yang berlaku di atas pentas.

No comments: