#my rants

Currently in the mood for:
# C Dramas

Jul 8, 2026

Adam Ressa Ep.3

 


3

 

“ADAM Johan Khairil. Pelajar Diploma Perdagangan, UPSI. Awak?”

Ressa memanggung wajah. Dia tidak nampak muka lelaki itu dengan jelas semalam. Kini sudah di depan mata, jadi khusyuk pula dia membuat penilaian.

Rupa paras lelaki itu diperhati teliti. Hidungnya mancung, elok sahaja terletak. Warna anak matanya coklat pekat. Rambutnya yang tidak disisir rapi di bahagian depan itu lebih panjang berbanding di sebelah belakang. Manakala jambang pendek itu memang melengkapi bentuk mukanya yang berkening lebat. Mengikut perkiraan Ressa lelaki itu memang nampak kacak walaupun memiliki jambang di usia sebegitu. Cuma, perangainya sahaja yang membuatkan keterampilan lelaki itu dipangkah terus.

Bukaan buku yang dia pegang ditandakan dengan tapak tangan buat sementara. Seingat Ressa dia tak buka mulut bertanyakan perihal lelaki itu apatah lagi ingin berbual dengannya. Mengetahui mereka bakal satu kumpulan untuk aktiviti kembara selepas ini tidak menjentik apa-apa rasa dalam diri Ressa selain perasaan menyampah.

“Saya tak tanya.Balasnya monotoni. Tiada gunanya Ressa memberitahu nama, jurusan diambil dan universitinya sendiri. Sekarang dia tak rasa nak beramah mesra dengan orang lain. Nak-nak bila yang menegurnya itu mamat hampeh bernama Adam Johan yang buat mukanya merah ibarat kena cili semalam.

“Awak asal mana?” Bibir Adam Johan masih lerai menguntum senyum. Kalau semalam dia tidak menemukan jawapan daripada Alif, hari ini dia bertanya terus kepada tuan empunya diri. Semoga cubaannya itu berhasil mendapat jawapan yang diingini.

Mulut Ressa bagaikan terkunci untuk membalas. Entah berapa lama masa yang bakal diambil untuk dia bertahan daripada bicara berlebihan. Melayan cakap pelajar lelaki itu yang tak habis-habis cuba mengajaknya berbual.

Dalam hati Ressa sudah berbakul-bakul mengutuk diri. Bagaimana mereka boleh satu kumpulan untuk kembara Nature & Wildlife yang telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil itu? Setiap kumpulan diwakili seramai sepuluh orang pelajar dengan diselia oleh tiga orang petugas GG. Hanya dua kumpulan yang terakhir sahaja menerima ahli seramai dua belas orang dan petugas seramai empat orang setiap satunya.

“Saya dari KL. Kalau awak pun dari KL, insya-Allah ada harapan kita berjodoh panjang nanti.” Dengan tak malunya Adam Johan menjual minyak di depan Ressa.

“Kalau macam tu, lebih baik saya pindah keluar dari KL. Tak ingin saya berjodoh dengan mamat poyo macam awak!” Ucap Ressa. Kalau tadi diam terkunci sahaja mulutnya, kini terdetik di mindanya untuk membalas. Diharap si dia yang bernama Adam Johan itu tidak mengganggunya lagi. Pendek kata, Ressa tidak berminat dengan taktik berkenalan lelaki itu langsung!

Walaupun dia berasal dari Selangor, Kuala Lumpur itu sememangnya seakan rumah keduanya jika dia pulang bercuti di kediaman Tok Wan dan Nek Su di Cheras. Harap-harap Adam Johan tidak menetap berdekatan dengan kediaman datuk dan nenek di sebelah arwah ibunya itu.

Alif yang memerhati setiap tingkah laku temannya itu dah melepas nafas berat. Selain UPSI, pelajar-pelajar dari UUM, UNMC, UIA dan UniKL turut dikumpulkan dalam satu kumpulan tersebut. Sesi berkenalan dengan ahli kumpulan dah lama habis. Tetapi sesi mengurat Adam Johan itu tak tahu sampai bila bakal menemui titik penamat.

Nampaknya benar-benar dipraktikkan apa yang diucap tempoh hari…

 

“Aku tengah melebarkan signal cari awek.”

 

Saat pandangan Alif bertemu dengan anak mata Adam Johan, sebelah tangannya diangkat. Dia memanggil temannya itu untuk datang dekat. Alif pula yang jadi segan melihatkan betapa tak malunya Adam Johan cuba hendak mengurat Ressa. Berkali-kali diingatkan agar Adam Johan tidak mengganggu gadis itu. Namun, seperti biasa kata-katanya seperti mencurah air ke daun keladi. Tak pernah Adam Johan nak ambil serius.

“Nanti kita berbual lagi eh?” Adam Johan bangun. Ditinggalkan Ressa yang duduk di depannya tadi sebelum berjalan ke arah Alif. Tak adalah jauh mana kedudukan Alif dengan lokasi dia berbual-bual bersama Ressa. Gadis itu kembali menyambung bacaannya yang tertangguh tanpa sedikitpun peduli akan perlakuan Adam Johan.

Ressa membuka notepad di sebelah buku yang dibacanya tadi. Pena mata bola berwarna hitam tiba-tiba menari di atas permukaan kertas…

 

Kalau awak pun dari KL, insya-Allah ada harapan kita berjodoh panjang nanti.

 

Tidak pasti kenapa dia ingin menulis kata-kata tersebut. Mata dipicingkan melihat pergerakan lelaki itu yang kini duduk berhampiran temannya. “Hmm...” Satu keluhan terlepas tanpa sedar.

“Apa hal?” Dagu diangkat sedikit saat bibir menyoal Alif yang duduk di bangku batu, bersebelahan pokok bunga kertas yang ditanam dalam pasu bersaiz sebesar pemeluk itu.

“Berapa botol minyak urat dah terjual?” Alif menyoal cukup sinis.

Sebotol pun belum terjual.Balasnya melayan jenaka Alif. Maklumlah, yang di sana tu pun macam nak tak nak aje membeli. Tapi, Adam Johan mana kenal erti berputus asa.

Masih berbaki empat hari lagi untuknya meruntuhkan tembok keegoan gadis bernama Ressa itu. Alah bisa tegal biasa. Dah alang-alang dia mencuba, takkan nak tarik diri cepat sangat. Bukan namanya Adam Johan jika terlalu mudah mengibarkan bendera putih demi mengakui kekalahan.

“Maknanya dia tak minatlah nak lebih-lebih dengan kau.” Macam apa yang berlaku ketika mereka minum petang tempoh hari. Memang tak adalah rancak mana Ressa berbual dengan Alif. Gadis itu hanya memperkenalkan diri dan diam seribu bahasa menikmati hidangan yang ada.

Welcome to friend-zone, buddy! Selesalah dekat zon tu, sebab nak keluar balik memang susah sikit.Sambung Alif. Semoga Ressa tidak termakan dengan godaan buaya darat teman baiknya itu.

“Amboi!” Pandai sungguh Alif hendak mengenakan Adam Johan. “Welcome to friend-zone huh? Really? Exclusive seat and no upgrade available. You should enjoy the view, bro!Adam Johan mencebik. Kalau terus dilayan cakap Alif itu tadi, dia juga yang bakal panas punggung.

Well...” Alif dah ketawa berdekah-dekah.

 

 

 

RESSA pura-pura memandang ke lain melihatkan Syahir datang dekat. Dia bimbang sekiranya Syahir ada melihatnya berbual-bual dengan Adam Johan di kantin kafe sewaktu pelajar-pelajar dipecahkan mengikut kumpulan dan mengadakan perbincangan untuk aktiviti kembara esok.

Dalam hati Ressa berharap sangat-sangat akan kehadiran Fara di sebelahnya sekarang. Fara ke surau bagi menunaikan solat asar. Andai bersama-sama dengan Fara, Syahir tidak berani untuk membuka mulut pasal teman lelakinya, Iskandar.

Pasal Adam Johan menyanyikan lagu petang semalam turut disampaikan ke telinga Iskandar yang berada nun jauh di Melaka. Bahananya, malam tadi Iskandar menghubungi Ressa dan marah-marah. Tak cukup dengan panggilan telefon, mesej WhatsApp Iskandar juga dipenuhi dengan kata-kata memaki hamun dan tuduhan yang tidak berasas.

Andai Ressa memberi respons, makin ligat Iskandar menuduhnya. Jadi, dia sengaja membiarkan mesej teman lelakinya itu tidak dibalas, hanya sekadar dibaca. Kira okeylah sebab ada juga bluetick. Kalau ikutkan rasa geram Ressa, memang nombor telefon Iskandar awal-awal lagi Ressa block dalam senarai pemanggil.

“Syahir, kau dah hantar borang yang Abang Faizul edarkan tadi?” soal Ressa.

Borang soal selidik untuk taklimat berkenaan topik kitar semula yang disampaikan oleh Dr. Som, penceramah yang diterbangkan khas dari Thailand untuk slot mereka pagi tadi itu masih elok termuat dalam fail hitam yang dipegang. Tak ada pula yang memungut borang tersebut, membuatkan Ressa tertanya-tanya. Bimbang sekiranya dia terlepas info berkenaan borang itu.

“Aku nak nasihatkan kau, jangan layan budak Adam tu.” Daripada gaya Adam Johan semalam, sah pelajar yang juga bakal guru itu ada menaruh hati terhadap Ressa.

“Bila masa aku melayan dia?” Ressa tak bersalah dalam hal itu. Dia masih ada hak untuk berbicara dengan sesiapa pun.

“Kau jangan ingat aku tak nampaklah Ressa,” ugut Syahir lagi.

Syahir, berhentilah jadi spy tak bertauliah Iskandar. Kalau kau nak lapor setiap gerak-geri aku pada dia, silakan. Tapi sekurang-kurangnya hormati ruang aku untuk jadi diri sendiri. Perangai kau ni, terus-terang… menjengkelkan.” Ressa masih cuba mengawal suaranya.

“Kalau kau tahu behave, tak adalah aku menegur.”

Oh, so kau rasa aku tak well-behaved? Kau nak aku jalan tunduk depan semua orang? Nak aku bercakap dengan kau je, macam dunia ni berpusat pada kau? I’m not your puppet, and I’ll never be.

“Aku hanya jalankan tugas aku bagi pihak Iskandar. Suka atau tak, kau kena ingat dia tu boyfriend kau. Dia amanahkan aku untuk jaga kau di sini.”

“Lain kali kau suruh dia yang datang sini dan ikut program yang aku attend. Don’t mistake me for someone you can command.” suara Ressa dah naik sedikit. Mujurlah di dalam dewan lengang. Pelajar-pelajar masih belum ramai dek waktu rehat, minum petang dan solat asar.

And tell that possessive Iskandar to back off! He doesn't own me. Never did, never will.” Setakat status teman lelaki, bila-bila masa sahaja Ressa boleh campak ke tepi. Soal kehidupannya sekarang, cinta bukan perkara yang perlu diutamakan.

Terkedu Syahir mendengarkan kata-kata Ressa tadi. Kalau diikutkan dia pun tak berminat sangat nak menjadi spy Iskandar. Setakat Iskandar, semua rahsianya ada dalam poket Syahir. Paling bengang bila Iskandar sibuk melarang Ressa daripada bergaul. Malah tanpa pengetahuan Ressa, Iskandar sakan mengelek perempuan lain di belakangnya.

Baru saja Syahir ingin membuka mulut, kelihatan Fara berjalan semakin hampir dengan kedudukan mereka berdua. Syahir mengambil jarak. Dia pergi ke barisan tengah dan duduk di tempatnya seperti biasa.

“Ada apa kawan universiti kau tu berdiri di sini tadi?” Fara membuka mulut.

“Tanya aku pasal borang soal selidik.” Terbalik dah. Padahal Ressa yang bertanya pasal borang soal selidik tersebut pada Syahir tadi. Bukan menjadi sifat Ressa menceritakan keburukan orang lain. Lagipun ia sesuatu yang tidak penting untuk dibahaskan ke telinga Fara. Ressa tidak mahu Fara tahu masalah yang menimpanya. Biarlah disimpan seorang diri.

“Aku tunggu kau dekat surau tadi. Kenapa tak datang?” soal Fara.

“Aku malaslah. Malam tadi pun aku dah bagitahu kau yang aku tak nak lagi ikut kau pergi surau. Semua pandang aku semacam aje bila dekat dalam tu,” balas Ressa. Tidak langsung dia memandang ke muka temannya itu kerana segan.

Pulang sahaja dari surau semalam, Ressa ada menyatakan bahawa dia tidak mahu lagi mengikuti Fara. Sebab apa tidak pula diberitahu. Namun, Fara tetap mengajak Ressa untuk solat berjemaah di surau. Walaupun Ressa menolak secara baik, Fara tidak akan berhenti sekerat jalan. Dia akan mengajak tanpa jemu.

“Mana ada macam tu. Kau aje fikir yang bukan-bukan.” Elok saja keadaan di surau malam tadi. Ramai pelajar perempuan yang menegur Ressa nampak cantik bertudung. Ressa cakap dia tak selesa nak berjalan ke surau dengan mengenakan telekung, sebab tu Fara pinjamkan Ressa tudung yang lain.

“Dahlah Fara. Berhentilah bercakap pasal tu. Aku rimas.” Sesungguhnya memang takkan pernah habis kalau hendak berkisah pasal tudung dan rambut.

Ada ke patut cakap rimas? Sepatutnya kau happy sebab belajar banyak benda baru semalam.”

“Benda baru?” Ressa menjongket kening. Tidak ada yang barunya kalau setakat ke surau dan berpura-pura solat. Walhal Ressa tahu solatnya langsung tidak sah.

Andai yang Fara maksudkan adalah ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Harun malam tadi, Ressa tak pasang telinga sangat. Dia sibuk melayan mesej maki hamun dan marah-marah yang dihantar oleh Iskandar ke telefon bimbitnya. Semuanya gara-gara Syahir, si kaki ngadu!

Sebenarnya ada sesuatu yang membuat Ressa berkecil hati. Terimbau akan saat di mana dia ingin mengambil wuduk, telinganya menangkap perbualan dua orang pelajar yang berada di situ tanpa sengaja. Sekali gus menyebabkan dia memberitahu Fara untuk tidak ingin ke surau lagi saat pulang ke hostel.

 

“Rambut dah berkarat, ada hati lagi tu nak solat berjemaah di surau. Entah sah atau tidak, tak tahulah.” Ucap suatu suara.

“Mungkin sengaja nak tunjuk baik kut! Maklumlah, aku tengok ramai juga pelajar lelaki yang dok usha dia.” suara lain pula menyampuk.

“Macam petang tadi tu ke? Kes Adam menyanyi dalam dewan tu?”

Ha’ah. Orang kalau dah cantik pakai tudung atau tak, sentiasa nampak menarik di mata orang jantan. Lagi-lagi jantan berhidung belang yang ramai dalam dewan tu.”

 

“Kenapa termenung?” Fara menegur.

“Bila masa pula aku termenung?” Laju Ressa menggelengkan kepala.

“Aku nak tanya something ni...” Serba salah juga Fara ingin membuka mulut. Tapi, kalau bukan sekarang bila lagi masalah tersebut dapat dirungkaikan. Fara tak suka bertangguh sekiranya ada sesuatu yang mengganggu fikirannya.

“Kau nak tanya apa?” Ressa nampak Fara macam susah sangat nak meluah.

“Nadia, budak kumpulan tiga suruh aku sampaikan pada kau yang dia minta maaf. Pasal hal malam tadi. Katanya, kau terdengar dia bercakap pasal tudung dan rambut kau tu eh?” beritahu Fara panjang lebar.

Erm, aku ingatkan kau nak tanya pasal benda penting apa tadi. Tak sangka pula nak cakap pasal ni.” Ressa tidak terus memandang ke wajah Fara. Tangan kanan dilunjurkan ke depan. Tangan kiri dijadikan alas dia melabuhkan kepala, semacam ingin tidur kerana sedari tadi dia menguap sambil menahan kantuk.

Fara membuka begnya. Sebuah fail ditarik keluar. Dokumen soal selidik yang masih belum lengkap diisi itu dikeluarkan daripada fail berwarna hijau tersebut. Tertera perkataan Go Green di muka depan fail.

“Itu ke sebab kau dah tak nak pergi ke surau? Sebab kau tak nak dengar mereka mengata?”

“Taklah. Setakat nak mengata, aku tak hairan mana.” Semenjak kecil pun dirinya sering menjadi bahan umpat keji orang. Apa yang nak dihairankan saat menginjak dewasa ini dia mengalami nasib serupa?

“Janganlah tipu aku. Aku tahu kau berkecil hati pasal tu. Apa yang kau dengar sebenarnya? Bagitahulah pada aku.” Kalau bukan kerana Nadia memberitahu dia tersedar akan keberadaan Ressa di belakang mereka masa itu, tentu sampai kesudah Fara takkan tahu apa yang membuatkan Ressa tidak mahu mengikutinya ke surau.

“Tak ada benda yang nak aku adukan Fara. Benda dah lepas. Aku malas nak ingat.”

“Kalau kau betul-betul tak nak beritahu aku, tak apalah. Tapi, aku tetap takkan biar kau bawa diri macam apa yang berlaku hari ni. Kalau betul kau malas nak ingat, aku tak tanya. Paling penting hari ni kita solat sama-sama okey?” Andai Ressa tak ingin ke surau, mereka masih boleh mengerjakan solat di hostel.

“Apa-apalah Fara. Jangan cakap lagi pasal ni. Aku nak lelap sekejap. Kalau petugas GG dah masuk, kau kejut aku.” Serentak mengungkapkan, terus dia katup mata dan mencari lena.

Dalam hatinya menjerit. Rasa kecewa dengan kata-kata yang dilemparkan semalam masih berbekas di hati. Tak mungkin Ressa lupa hanya dengan perkhabaran bahawa dia tak nak mengingati semua itu lagi. Mungkin orang lain melihat dia keras di luaran, tetapi tiada sesiapa pun yang sedar jauh di sudut hatinya dia betul-betul menginginkan perhatian dan penerimaan daripada orang lain di sekeliling.

No comments: